‘BERSATU KITA TEGUH
BERCERAI KITA ROBOH’
Assalamualaikum…Tanpa kita sedari, tahun 2008 sudah pun melabuhkan tirai. Tahun 2008 merupakan tahun yang banyak menyimpan kenangan pahit manis kepada penggiat muzik tanah air. Suasana muzik Malaysia kembali meriah dengan kebangkitan pemuzik-pemuzik bebas yang dahulunya dipinggir ekoran ‘agung’nya pemuzik seberang. Hampir keseluruhan media arus perdana samada media cetak atau media elektronik berbicara perihal kebangkitan pemuzik-pemuzik bebas. Stesen TV, stesen radio, akhbar harian malah akhbar tabloid turut memberi ruang kepada pemuzik-pemuzik bebas untuk menampilkan karya-karya mereka. Inilah yang kita mahukan. Ruang serta masa yang diberi harus dimanfaatkan sebaik mungkin. Peluang seperti ini sangat jarang berlaku setelah kita diserang oleh ‘GARUDA’ seberang beberapa tahun kebelakangan.
Apa ironinya dengan tajuk dan intro yang saya gunakan? Kalian sedia maklum dengan keadaan semasa. Namun, ini bukan kali pertama karya pemuzik-pemuzik bebas mendapat tempat di hati masyarakat arus perdana. Lebih kurang 10 tahun dahulu, scene bebas(dahulunya dikenali sebagai ‘underground’) telah dapat diterima oleh masyarakat. Suasana pada masa itu sangat meriah dengan kehadiran kugiran-kugiran yang datang membawa pelbagai genre muzik. Untuk tidak merosakkan sejarah muzik bebas tanah air, saya hanya menumpukan kepada generasi DIY pada era 90-an dan pada era kini. Kepada pembaca yang berusia 21 tahun ke bawah mungkin tidak berkesempatan merasai betapa ‘happening’nya scene ‘bawah tanah’ ketika itu. Mungkin kalian berpendapat saya terlalu emosi atau ’orang tua’ yang sedang dilamun cinta lalu bercerita kenangan masa dahulu. Sebelum menduga, kalian harus terus membaca imbauan yang saya imbas kembali demi satu tujuan…BERSATU.
Pada pertengahan 90-an, kita telah dikejutkan dengan kemunculan pelbagai kugiran ‘bawah tanah’ yang datang dengan harapan setelah dipojok dengan muzik ‘leleh’ yang hadir entah dari mana. Ingin saya tegaskan di sini, ketika itu scene ‘bawah tanah’ (DIY) sangat mementingkan semangat ‘unity’ dan ‘brotherhood’ yang tinggi. Saling bantu-membantu, tolong-menolong, berat sama dijunjung, ringan sama dijinjing. Melalui ‘coverage’ yang begitu terhad, pemuzik-pemuzik bebas ini terus berjuang demi satu matlamat…BERKARYA. Tanpa Myspace, tanpa Facebook, tanpa Friendster, tanpa download atau upload, dan semacam kemudahan teknologi, pemuzik serta ‘followers’ bergerak seiring dalam memastikan scene ini terus hidup. Bolehkah ‘adik-adik’ bayangkan hidup tanpa sebarang ‘gadjet-gadjet’ canggih? Tanpa telefon bimbit, tanpa internet, tanpa Myspace…Tentu susah bukan???
Namun sedikit demi sedikit, tangga demi tangga didaki, akhirnya scene DIY dapat diterima ramai. Sebelumnya, segala informasi dikongsi melalui ‘zine-zine’ yang diilhamkan ‘followers’ atau pemuzik bebas sendiri, ROTTW, Majalah Konsert, kolum yang dikendalikan Joe Kidd (Carburetor Dung) dalam sebuah akhbar harian bahasa inggeris, pertukaran ’stuff’ sesama ‘followers’ dan bermacam-macam cara yang sangat terbatas. Boleh dikatakan hanya segelintir yang mengetahui tentang kewujudan scene DIY ini. Wujudnya hero-hero(he…he…he) seperti Abg. Rom, Joe Kidd, dan Kevin B(Wow FM-rip off) maka segala informasi berguna dapat dikongsi. Siapa Kevin B??? Mungkin ‘adik-adik’ tidak pernah kenal akan nama ini. Namun, tiada seorang DJ radio pada masa kini yang lebih ‘cool’ dari beliau. Kevin B merupakan seorang DJ radio Wow FM yang banyak memutarkan ’stuff’ DIY tanpa sebarang prejudis. Zahid(Disagree) mungkin individu yang paling bertuah pada masa itu(awal tahun 2000). Abg. Rom!!! Apa lagi yang dapat diceritakan mengenai ‘brother’ rambut putih ni. Hanya jutaan terima kasih dari kami semua. Dan, Joe Kidd. Saya rasakan beliau merupakan orang yang patut kalian sanjungi melalui usaha beliau memartabatkan scene DIY. Joe Kidd merupakan aktivis yang ideologinya susah untuk ditafsir. Aru(Koffin Kanser) dan rakan seperjuangan mungkin menangis jika sejarah mereka diimbas kembali. Hahaha…Republik Of Brieckfield adalah sebuah legasi yang benar. Banyak sejarah tercatat di situ dan mungkin Aru, Joe Kidd, Jaei(Sil Khannaz) serta rakan-rakan mereka saja yang mengerti.
Okay…Berbalik kepada pendedahan pada era tersebut. Media arus perdana telah memberi perhatian kepada scene DIY. Malah, sebuah stesen TV swasta telah menerbitkan satu-satunya rancangan khusus untuk pemuzik-pemuzik bebas yang dikenali sebagai ALTERNATIF yang disiarkan setiap minggu. Dan bermula dari sini juga, semua kugiran yang datang dari kelompok bebas digelar sebagai ‘band alternatif yang membawakan genre muzik alternatif’(ntah apa-apa). Berbekalkan rancangan ini, ROTTW(dahulunya hanya terbit setiap 2 bulan),dan informasi dari rakan-rakan, kami(followers) berusaha mengumpul wang untuk hadir ke gig-gig serta membeli dan bertukar-tukar ’stuff’(ketika itu popular dalam bentuk kaset) yang berharga RM 5. Jika tidak, kami hanya berurusan melalui pos sahaja. Cuba ‘adik-adik’ bayangkan betapa susahnya hanya semata-mata untuk mendengar sesuatu yang ‘magik’. Pada ketika itu, scene DIY Ipoh(Ipoh Rock City) sangat happening dengan gig-gig metal dan indie. Medan Kidd merupakan medan pertukaran maklumat ataupun ‘one-stop-centre’ bagi budak-budak ipoh. Kompleks Yik Foong pula adalah tempat perkongsian idea dan pendapat yang meriah pada setiap hujung munggu. Manakala, di Kuala Lumpur, Central Market dan Kompleks Campbell adalah tempat yang wajib dikunjungi jika menghadiri gig di sekitar KL. Jika ‘adik-adik’ ingin menguji pengetahuan tentang muzik, sila kunjungi kedai kaset Auntie di Kompleks Campbell. Nescaya ‘adik-adik’ akan pulang dengan muka merah padam menahan malu(Auntie memiliki pengetahuan mendalam tentang senario muzik tempatan mahupun antarabangsa).
Kalian mungkin bosan dengan tulisan yang melalut. Tapi, ingatlah kalian semua tentang sejarah kita yang mungkin berulang. Akan saya rungkaikan di akhir penulisan ini. 28 Days, Sil Khannaz, Necrotic Chaos, Koffin Kanser, The Pilgrims, The Splatters, The Expired, The Bollocks, Muck, Catapuru, Apple Green, FTG, Butterfingers, OAG, Dead Mushrooms, Happy Nightmare, LYME, Prana, Republik Of Brieckfield, ACAB, The Official, Shizuka, BloodyMary, Fat Flat, Spunky Funggy, Spiral Kinetik Circus, Amigone, Carburetor Dung, Custom Daisy, Nice Stupid Playground, Skyjus, Acid Rain, Stone Angelina, Subculture, Infectious Maggots, Samarkhand, 7 Collar T-Shirt, Love Me Butch, Private Whizz, Langsuir dan banyak lagi adalah antara pemuzik-pemuzik bebas yang memberi satu ruang lingkup terhadap tohmahan yang dilemparkan masyarakat perdana selepas era kegemilangan Search dan Wings(kononnya tiada pengganti 2 kugiran hebat ini). Dan semestinya penghormatan harus diberi kepada satu-satunya kugiran ‘rebel’ semasa ‘Battle Of The Band’ pada era 80-an dahulu iaitu Blackfire.
Dan…Julung-julung kalinya, beberapa tahun dahulu scene kita telah dibunuh dengan kejam tanpa diberikan ruang untuk menyelamatkan diri. Umpama pisau yang menikam tubuh itu ditarik dari badan kemudian ditikam kembali berkali-kali. Pedih…Perit… Scene seolah-olah mati. Peristiwa ‘Besi Hitam’ meninggalkan kesan yang sangat mendalam. Gig-gig diserbu pihak berkuasa untuk menangkap PAK CIK HAMMER, PAK CIK PAKU dan entah apa-apa pak cik lagi kononnya bertujuan mencari bangkai kambing yang darahnya telah diminum oleh pengunjung gig(hahahahaha). Tapi, malangnya gig yang diserbu merupakan sebuah gig ’punk’. Namun, tangkap tetap tangkap!!! Balai cerita!!! Sebuah syarikat penerbitan akhbar tabloid telah menjadi ‘hero kampung’. Kononnya remaja Islam membakar kitab suci Al-Quran dan meminum darah kambing sebagai santapan. Berbulan-bulan propaganda mereka teruskan bagi memastikan remaja-remaja dapat kembali kepada ajaran Islam yang sebenar(huh). Selama berbulan-bulan itu jugalah tiada seorang pak cik pun yang dapat ditangkap. Untuk rekod; pihak berkuasa negara kita telah diiktiraf di peringkat antarabangsa melalui penyelesaian kes-kes jenayah. Sekiranya benar apa yang diprovok oleh akhbar tabloid tersebut, sudah semestinya pak cik-pak cik tadi sudah dapat ditangkap dan menerima hukuman setimpal di atas kesalahan mengedar darah kambing. Tika dan saat ini jugalah ‘GARUDA’ yang besar dari seberang telah menemui tempat baru untuk bersarang. Dan tempat itu ialah…MALAYSIA.
”BAPAKU MARAH LAH LAGI, HABIS…CD DIBAKAR, HABIS…POSTER DIBAKAR, HABIS….ZINE KU DIBAKAR…KALAU INI MACAM, LEBIH BAIK AKU JADI…MAT REMPIT, JADI MAT RAP, JADI MAT DISKO, JADI MAT POP INDON, BAIK AKU JADI…BOHJAN”-ini antara lirik lagu Sunut daripada Langsuir(harap maaf jika tersilap). Cuba kalian baca dan fahami maksud yang hendak mereka sampaikan.
Kini, pemuzik-pemuzik bebas telah bangkit kembali. Hujan, Meet Uncle Hussein, They Will Kill Us All, Sugar Loves Cookies, Lydia Diary, Bittersweet, Estranged, Couple, Pop Shuvit(sekadar beberapa nama) telah memberi nafas baru kepada scene DIY. Saya lebih suka menggunakan terma ‘BEBAS’ kerana ia sangat jelas untuk menggambarkan perjuangan pemuzik-pemuzik muda ini. Jangan sempitkan pemikiran adik-adik kita dengan terma ‘INDIE’. Dengan penjelasan yang panjang lebar, saya berharap kepada semua pemuzik-pemuzik bebas masakini dan ’followers’ agar bersatu dan sama-sama menyokong pergerakan DIY kita sendiri. Jalan yang sempit dahulunya telah terbentang luas. Hanya azam dan ikatan persaudaraan yang kukuh sesama kita dapat meneruskan perjuangan yang dirintis oleh ‘pioneers’ terdahulu. Biar berbeza ideologi, biar berlainan genre, biar tidak sependapat, namun jangan sesekali biarkan scene kita dibunuh untuk kali kedua. Sebatang lidi memang mudah dipatahkan.tetapi jika kita menjadi seberkas lidi, tiada tenaga yang dapat melawan. Fikir-fikirkan.
Selamat tinggal 2008…Semoga lebih ‘BEBAS’ di tahun 2009. Sekian.
ape yg ko merepek ni haron....
BalasPadamharoooonnnnnn!, penat nak baca la
BalasPadamwei harooon....pergi mem la dgn perjuangan indie ko ni.....
BalasPadamKo nie buat citer, xde paragraph laaa... Penat aku nak baca, panjang berjela luahan rasa....
BalasPadam